Shanghai: Seorang lelaki di China menimbulkan kontroversi selepas menawarkan khidmat cari tempat duduk kereta api bawah tanah (subway) pada waktu puncak dengan harga 5 yuan (RM3.35).
Tinggal dan bekerja di Zon Baharu Lingang, tenggara Shanghai, lelaki dikenali Zhou itu menyiarkan iklan perkhidmatannya di media sosial pada 19 Disember, menurut South China Morning Post (SCMP).
Dia berkata, boleh mencarikan tempat duduk untuk sesiapa yang membayarnya bagi kereta api bawah tanah Laluan 16, setiap kali waktu puncak sebelah pagi dan petang.
Tindakan itu disifatkan seperti peniaga tiket haram dan dia diletakkan di bawah tahanan pentadbiran.
Zhou bagaimanapun mendakwa hanya menyebarkan maklumat mengenai khidmat itu sebagai khabar angin untuk meraih perhatian dalam talian, menurut media The Paper.
Dia sebelum itu mengatakan, kos perkhidmatannya adalah 5 yuan yang merangkumi bayaran untuk satu perjalanan, lapor Shanghai Morning Post.
Zhou berkata, dia menaiki kereta api dari Stesen Terminal yang akan memastikannya sentiasa mendapat tempat duduk dan memulakan perjalanan pada 7.30 pagi dan turun di Stesen Huinan atau Stesen Xinchang yang berhampiran pejabatnya.
Penumpang yang berminat boleh menghubunginya sebelum dia keluar dari kereta api dan setakat ini pernah menyediakan perkhidmatan kepada penumpang yang sama sebanyak dua kali.
Dua penumpang lain membayarnya terlebih dahulu, tetapi malangnya Zhou gagal mencari tempat duduk kosong.
Laluan 16 yang menghubungkan pinggir bandar Lingang akan sentiasa penuh dengan penumpang pada waktu puncak kerana pekerja akan ke tempat kerja di pusat bandar dan pulang pada sebelah petang.
Shanghai Metro, pengendali sistem bawah tanah bandar itu menentang perkhidmatan sebegitu dengan berkata, tempat duduk dalam ‘subway’ adalah terbuka kepada semua orang.
“Pengagihan tempat duduk harus mengikut prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ dan tidak harus diduduki secara eksklusif, apatah lagi digunakan sebagai alat untuk mengaut keuntungan,” katanya.
Li Da, seorang peguam dari Shanghai De He Han Tong Law Offices berkata, tiada undang-undang yang melarang kelakuan Zhou, namun ia boleh menjejaskan ketenteraman di dalam kereta api.
© New Straits Times Press (M) Bhd