5 penuntut IPTS ditahan, samun kenalan aplikasi janji temu

5 penuntut IPTS ditahan, samun kenalan aplikasi janji temu

rnoraina@hmetro.com.my

Serdang: Berkenalan dengan mangsa menerusi aplikasi janji temu sebelum mengajak untuk berjumpa dan kemudian menyamun mangsa.

Itu taktik dipercayai digunakan sekumpulan penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menyasarkan mangsa dalam kalangan lelaki yang meminati hubungan sejenis.

Bagaimanapun, perbuatan lima lelaki berusia antara 18 hingga 22 tahun itu terbongkar selepas mangsa yang mengalami kerugian kira-kira RM67,000 tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pendandan rambut berusia 41 tahun pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, pengadu mendakwa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi janji temu sebelum bersetuju menemuinya di rumah sewa lelaki itu di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

“Pada 7.30 malam Ahad lalu, pengadu ke rumah suspek dan semasa berada di kediaman berkenaan, pengadu ada menggunakan tandas, namun sebaik keluar, pengadu dapati dua lelaki tidak dikenali berada di dalam rumah.

“Lelaki itu bersama suspek didakwa mengikat kedua tangan serta kaki pengadu dengan salah seorang daripada mereka mengambil kayu dan memukul badan pengadu.

“Seorang lagi didakwa mengambil telefon bimbit pengadu lalu memindahkan wang berjumlah RM67,000 ke akaun rakan suspek. Mereka turut mengugut pengadu untuk tidak melaporkan kejadian kepada polis sebelum melepaskan pengadu pulang ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Serdang berjaya menahan lima lelaki termasuk pemilik akaun bank yang menerima wang mangsa.

Anbalagan berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua mereka negatif bahan terlarang.

“Siasatan awal dijalankan turut mendapati terdapat tiga kejadian membabitkan mangsa berbeza dan menggunakan modus operandi sama, yang mana dua kejadian tidak dilaporkan.

“Modus operandi digunakan adalah mencari mangsa melalui media sosial, berjanji temu di tempat ditentukan suspek, kemudian mengikat mangsa sebelum memindahkan wang mangsa ke akaun salah seorang suspek, selain mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek masih direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut, manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan bahan lucah.

Beliau meminta kerjasama individu yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan berhubung kejadian di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursabrina Ahmad Jafri di talian 03-80742222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top