47 kapal ubah laluan ke Terusan Suez sejak Februari

47 kapal ubah laluan ke Terusan Suez sejak Februari
47 kapal ubah laluan ke Terusan Suez sejak Februari

Sebanyak 47 kapal mengubah laluan mereka untuk melalui Terusan Suez berbanding Tanjung Harapan sejak awal Februari. Gambar hiasan

KAHERAH – Pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) Osama Rabie pada Ahad mengumumkan bahawa 47 kapal mengubah laluan mereka untuk melalui Terusan Suez berbanding Tanjung Harapan sejak awal Februari, lapor Xinhua.

Rabie membuat pengumuman itu semasa menyertai pembukaan Persidangan Tahunan Pengangkutan Maritim dan Logistik Antarabangsa ke-14 yang berlangsung di Alexandria, Mesir, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SCA.

Beliau berkata bahawa perbincangan berterusan dengan syarikat perkapalan, ditambah tanda-tanda positif kestabilan di Laut Merah, mendorong 47 kapal mengubah laluan bulan ini untuk transit melalui Terusan Suez dan tidak lagi mengelilingi Tanjung Harapan.

Rabie optimis lebih banyak syarikat perkapalan akan kembali menggunakan Terusan Suez seiring dengan peningkatan kestabilan di rantau itu.

Beliau turut menekankan bahawa krisis di Laut Merah menimbulkan “cabaran keselamatan yang belum pernah terjadi sebelum ini” kepada rantau berkenaan, sekali gus menjejaskan kestabilan dan kemampanan rantaian bekalan global.

Hasil kutipan Terusan Suez mengalami penurunan lebih 60 peratus pada 2024, bersamaan kira-kira AS$7 bilion akibat ketegangan di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb.

Ketegangan di Laut Merah bermula apabila kumpulan Houthi di Yaman menyerang kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel pada Oktober 2023 sebagai tanda solidariti terhadap Gaza dalam konflik Hamas-Israel.

Dengan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza pada 19 Januari, keadaan di Laut Merah kembali stabil. – Bernama/Xinhua

Scroll to Top