4 rakyat Malaysia ditahan di Sri Lanka kerana penipuan dalam talian

4 rakyat Malaysia ditahan di Sri Lanka kerana penipuan dalam talian

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa Sri Lanka telah menahan 10 warga asing kerana disyaki terlibat dalam penipuan kewangan berasaskan internet, susulan serbuan di sebuah hotel di bandar pantai Chilaw pada Selasa.

Menurut polis, tangkapan dibuat selepas pegawai daripada Unit Siasatan Jenayah Bahagian Puttalam bertindak atas maklumat berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah hotel di Iranavila Road.

Kumpulan yang ditahan termasuk empat lelaki warga Malaysia, tiga lelaki warga Ethiopia dan seorang wanita, seorang wanita warga Kenya, serta seorang lelaki warga China, menurut kenyataan polis yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka pada Rabu.

Polis menyatakan bahawa dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas sejumlah besar peralatan elektronik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan, termasuk 20 komputer, tiga penghala, dan 282 telefon bimbit.

Unit Siasatan Jenayah Bahagian Puttalam sedang menjalankan siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top