4 kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat

4 kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat kawasan di Hulu Langat dekat sini, dilaporkan mula dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda sebahagian kawasan Lembah Klang bermula sekitar jam 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima empat aduan kejadian banjir di Hulu Langat setakat ini, sejak jam 5 petang tadi.

Katanya, aduan berkaitan banjir membabitkan kawasan Sri Nanding, Taman Murni, Batu 11 dan Sungai Serai.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan bersama satu bot digerakkan untuk membuat pemantauan dan tugas menyelamat di kawasan Sri Nanding.

“Mengenai status banjir di Taman Murni, pasukan bomba dari BBP Semenyih di lokasi memaklumkan keadaan sudah pun pulih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Ampang digerakkan ke Batu 11 Hulu Langat selepas dimaklumkan kawasan itu dilanda banjir kilat.

“Bagaimanapun, keadaan banjir semakin pulih dan air sudah surut, manakala pasukan BBP Bandar Tun Hussein Onn kini berada di Sungai Serai bersama satu bot untuk tugas menyelamat.

“Buat masa ini belum ada penduduk Sungai Serai dipindahkan dari kediaman masing-masing dan pasukan bomba akan terus berada di lokasi untuk memantau keadaan,” katanya.

Kata Norazam, dua bot dari BBP Andalas dan BBP Sungai Pinang, Klang digerakkan ke Hulu Langat sebagai aset bantuan kepada bot-bot sedia ada sebagai persiapan memindahkan mangsa sekiranya berlaku banjir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top