KOTA TINGGI: Kemalangan yang meragut nyawa empat beranak di Jalan Kampung Semanggar Dalam dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Mangsa, penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, isterinya, Siti Jamaliah Mohd. Yatim, 27 dan dua anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, dan Nurfatihah Jannah berusia 9 bulan.
Kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pukul 1.20 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggang seorang lelaki bersama isteri dan dua anaknya.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kota Tinggi menghala ke Kampung Semanggar Dalam gagal mengawal kenderaan ditunggang semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan.
“Ekoran itu menyebabkan motosikal itu bertembung dengan sebuah lori jenis Hohan yang dalam perjalanan dari menuju ke Kota Tinggi.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang dan semua pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pemandu lori berusia 31 tahun dibebaskan selepas diambil keterangan dan siasatan lanjut mendapati pemandu lori tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya. –UTUSAN ONLINE