4.5 juta orang cergas bersama, Hari Sukan Negara tingkat gaya hidup aktif masyarakat

4.5 juta orang cergas bersama, Hari Sukan Negara tingkat gaya hidup aktif masyarakat

Diadakan setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober, Hari Sukan Negara (HSN) tingkat gaya hidup aktif masyarakat selaras dengan hasrat membudayakan dan merakyatkan sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini hadir bersama merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dataran Putrajaya, Presint 3, dekat sini.

Beliau berkata, sambutan HSN yang diperkenalkan pada 2015 adalah mahu meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi, seterusnya memperkukuhkan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.

Hari Sukan Negara tingkat gaya hidup aktif

Selain itu, objektif HSN ini juga pastinya mahu mempromosikan gaya hidup aktif dan cerdas menerusi aktiviti sukan, memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasiona.

Malah, ia juga bagi menyuntik sinergi pembangunan sosioekonomi menerusi penerokaan industri sukan dan rekreasi dalam memberi impak positif, baik kepada ekonomi negara mahu pun kesejahteraan rakyat.

“Dengan mengetengahkan tema #CergasBersama, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030). 
“Aktiviti sukan dan rekreasi ini dianjurkan di seluruh negara merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 4.5 juta orang,”katanya.

Hannah berkata, sambutan HSN peringkat kebangsaan menarik lebih 30,000 penyertaan dalam 64 jenis aktiviti termasuk daripada golongan warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, penganjuran sambutan HSN Peringkat Negeri dan Bahagian di negeri Sarawak pada tahun ini diselaraskan semula ke 19 Oktober 2024 bagi menghormati Sambutan Ulang Tahun Kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Walaupun HSN disambut sekali setahun, kerajaan berharap agar masyarakat sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif sihat dan cergas sepanjang tahun seterusnya menyokong hasrat di dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan,”katanya lagi.

Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Abd Aziz bin Abd Rahman.

Scroll to Top