39 pemandu bas ekspres, persiaran tak bawa pemandu kedua disaman

39 pemandu bas ekspres, persiaran tak bawa pemandu kedua disaman

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap 39 pemandu bas ekspres dan bas persiaran ketika mengadakan Operasi Khas Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) di Plaza Tol Juru, di sini, malam ini.

JPJ dalam kenyataannya memaklumkan kesemua saman itu dikeluarkan atas kesalahan tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer (km) atau pemanduan melebihi empat jam.

“Dalam operasi itu, kita turut mengesan kesalahan lain antaranya tiada Lesen Perubahan Sementara (LPS), tiada lesen memandu dan tiada lesen memandu PSV.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan tidak kemas kini buku log pemandu, gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal.

“Keseluruhannya, sebanyak 219 notis saman dikeluarkan dalam operasi malam ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, seramai 26 anggota penguat kuasa JPJ negeri terbabit dalam operasi berkenaan yang bermula dari 6 pagi hingga 11 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd