Sao Paulo: Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dalam nahas bas di tenggara Brazil, semalam, kata pegawai, dalam apa yang disebut oleh Presiden Luiz Inacio Lula da Silva sebagai “tragedi yang dahsyat.”
Kemalangan di negeri Minas Gerais, yang membabitkan bas yang terbakar dalam perlanggaran itu, adalah yang paling teruk di lebuh raya persekutuan Brazil sejak 2007, kata Polis Lebuhraya Persekutuan (PRF) kepada AFP.
Polis awam mengesahkan 38 maut, dengan sembilan orang dimasukkan ke hospital.
Menurut maklumat awal, satu blok granit “kemungkinan” keluar dari trak yang bergerak ke arah bertentangan, melanggar bas itu, kata PRF dalam satu kenyataan.
Pemandu lori melarikan diri dari tempat kejadian, kata bomba.
Bomba pada awalnya berkata, tayar bas itu meletup kira-kira 4 pagi, menyebabkan pemandu hilang kawalan dan melanggar sebuah lori. Sebuah lagi kenderaan turut melanggar bas dari belakang, kata pegawai, tetapi penumpangnya terselamat.
Selepas kemalangan itu, bas yang dalam perjalanan dari Sao Paulo ke Vitoria da Conquista, di negeri timur laut Bahia, terbakar.
Angka kematian meningkat sepanjang hari, dengan jurucakap jabatan bomba tempatan sebelum ini memberitahu AFP bahawa “belum mungkin untuk menentukan jumlah tepat kerana keadaan mayat.”
Beberapa mangsa terperangkap di dalam, kata bomba, yang mengeluarkan mayat hangus dari serpihan bas.
Dalam video yang dikeluarkan pagi Sabtu, Leftenan Alonso Vieira Junior dari jabatan bomba Minas Gerais berkata, kren diperlukan untuk membersihkan serpihan, dan bahawa “masih ada lagi mangsa yang perlu dikeluarkan.”
Antara yang maut ialah pemandu bas dan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak.
© New Straits Times Press (M) Bhd