37 'blackspot', 26 'hotspot' di Pahang

37 'blackspot', 26 'hotspot' di Pahang

am@hmetro.com.my

Kuantan: Polis mengenal pasti 37 `blackspot’ atau lokasi kerap kemalangan dan 26 `hotspot’ iaitu lokasi sering berlaku kesesakan di 11 daerah di Pahang sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata daripada jumlah itu, Maran merekodkan jumlah `blackpot’ tertinggi iaitu tujuh lokasi.

Katanya, antara lokasi terbabit ialah di Kilometer (KM) 27 hingga 47 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, Km 100-102 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dan KM 27-35 Jalan Pekan Tajau-Bandar Jengka.

“`Hotpot’ paling ketara dijangka berlaku di Temerloh iaitu di Km Jalan Jerantut-Temerloh, Km 120 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, Km 117 Lampu Isyarat SK Paya Pulai dan Km 26 Jalan Jerantut-Temerloh.

“Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan membantu melancarkan aliran trafik di kawasan yang mengalami kesesakan,” katanya ketika ditemui media pada Program `High Profile Policing’ di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini, semalam.

Katanya, semua Ibu Pejabat Polis Daerah diarah melakukan rondaan berkala di lokasi `blackspot’ dan `hotspot’ untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, sebaiknya pemandu berehat jika keletihan dan pada masa sama memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memandu.

“Jumlah kenderaan dijangka mula meningkat di beberapa lebuh raya utama dan laluan persekutuan ke Pahang mulai esok (hari ini),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd