Minat yang begitu mendalam terhadap ternakan lembu mendorong Faridah Ibrahim, 52, terbabit menceburi projek ternakan lembu dalam ladang kelapa sawit dan kurungan secara komersial.
Kini selepas 33 tahun mengusahakanya kesungguhan yang ditabur dibantu ahli keluarga ternyata memberi hasil yang sangat menguntungkan.
Menurut Faridah, menternak lembu baka Kedah-Kelantan tidak terlalu membebankan berbanding ternakan ruminan lain seperti kambing dan kerbau yang sentiasa memerlukan pengawasan secara berterusan siang dan malam selain ancaman penyakit.
Katanya, dia mula menternak lembu sebanyak 15 ekor secara suka-suka yang dilepaskan secara bebas dalam kawasan ladang kelapa sawit.
“Saya kini mempunyai lebih 250 ekor lembu baka Kedah-Kelantan yang diternak secara bebas dalam ladang kelapa sawit dan menggunakan sistem kurung sementara sebelum dijual.
“Projek ternakan lembu yang saya usahakan selama ini banyak mendapat bantuan suami, Matnu Hasan, 59 dan anak-anak,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Betong, di sini.
Menurut ibu kepada 10 cahaya mata itu, mengusahakan projek ternakan lembu secara komersial sememangnya mempunyai cabaran dan dugaan, antaranya serangan wabak penyakit dan ternakan dicuri.
Faridah yang turut memiliki ladang kelapa sawit seluas lebih 26 hektar berkata, permintaan lembu sentiasa berlaku sepanjang tahun dan jumlahnya bertambah pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Katanya, dia menjual lembu dengan harga antara RM2,000 hingga RM2,500 seekor bergantung pada saiz dan harga lebih rendah bagi anak lembu.
Tambahnya lagi, bantuan pinjaman yang disediakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menjadi pencetus kepada kejayaan projek ternakan lembu yang diusahakan selama ini.
“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada AIM yang memberi pinjaman secara berperingkat bermula RM3,000 pada 2002 hingga kini berjumlah RM600,000.
“Tanpa sokongan AIM tidak mungkin saya dapat berjaya mengusahakan projek ternakan lembu seperti yang dikecapi hari ini,” katanya yang kini Ketua Pusat Umi Salmah Blok Tahan Cawangan Jerantut.
Jom saksikan video dibawah kisah penuh inspirasi mengenai perniagaan yang dibangunkan oleh Faridah sehingga berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil.