Kuala Terengganu: Seramai 30 pengamal media di Kelantan dan Terengganu yang terkesan akibat banjir baru-baru ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu meringankan beban mereka.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika menyampaikan sumbangan berkata inisiatif itu adalah bagi memastikan para pengamal media yang banyak berjasa kepada masyarakat tidak dilupakan dan mereka terus diberi sokongan dalam apa jua keadaan.
Sejak diperkenal pada April 2023, inisiatif itu telah memanfaatkan seramai 234 pengamal media dengan sokongan penaja seperti AEON BiG yang menyediakan barangan keperluan.
“Daripada jumlah itu, 204 penerima pula adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan ataupun apa-apa isu yang kita minta untuk dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi bekas jurukamera Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Terengganu Asmara Mat Hassandi Kampung Sungai Rengas di sini yang turut menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.
Turut serta dalam kunjungan itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi juga berkata terdapat keperluan untuk memperluas kriteria penerima dan terma Tabung Kasih@HAWANA agar tidak hanya tertumpu kepada isu kesihatan serta kebajikan semata-mata.
“Sebenarnya, kita minta Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) untuk meneliti terutama bila tiba musim perayaan, macam baru-baru ini untuk Deepavali kita ada sampaikan sedikit sumbangan… dan sekarang festival yang hampir ialah Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Jadi saya lihat ada keperluan untuk kita perluaskan kerana saya tahu ada rakan wartawan yang terkesan, ada yang lambat dapat gaji atau tidak dapat gaji…jadi, saya nak kembangkan sikit skop bantuan itu untuk wartawan yang terkesan sedemikian rupa… bukan hanya isu kesihatan atau kebajikan tetapi melihat sekiranya ada yang memerlukan bantuan segera,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke rumah Asmara hari ini, Fahmi berkata program sebegitu memberi mesej jelas bahawa bekas pengamal media tidak pernah dilupakan.
“Harapan saya tahun depan lebih ramai dapat kita santuni. Saya paling terkesan bila sebelum-sebelum ini, ada yang bila dapat bantuan selepas itu mereka dijemput Ilahi… tetapi harapan saya dalam kes macam ini, boleh diberikan kesembuhan, insya-Allah,” katanya.
Asmara, 62, yang berkhidmat selama 36 tahun di RTM sejak 1981, kini terpaksa menjalani rawatan dialisis dan fisioterapi selepas diserang strok pada September lalu selain menghidap penyakit buah pinggang sejak Mei 2020.
Selain sumbangan wang tunai, bapa kepada empat cahaya mata itu menerima barangan keperluan daripada AEON BiG.
Bagi Asmara, beliau bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan itu yang dapat membantu meringankan kos perjalanannya bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu di sebuah klinik di sini.
Asmara, yang hanya bergantung kepada pencen bulanan untuk menampung kehidupannya, turut menitipkan pesanan kepada pengamal media yang masih bertugas untuk sentiasa jujur dan telus melaporkan berita.
“Manfaatkanlah segala teknologi dan kemudahan yang ada ketika ini untuk membantu kerja kita… berbanding dengan zaman saya dahulu, sekarang ini sudah ada banyak kemudahan… jadi, bekerjalah dengan sebaik mungkin,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama untuk membantu wartawan dan pengamal media sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun bersara, uzur atau memerlukan bantuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd