30 kakitangan Kedutaan Korea Utara pulang hari ini

30 kakitangan Kedutaan Korea Utara pulang hari ini

SEPANG – Seramai 30 orang kakitangan Kedutaan Korea Utara di sini dijadualkan pulang ke negara asal mereka, petang ini.

Kesemua mereka akan menggunakan penerbangan transit Shanghai Airlines ke Pudong, China sebelum ke Pyongyang.

Mereka menaiki penerbangan FM0086 menggunakan pesawat Shanghai Airlines.

Seramai 30 warga Korea Utara itu tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Mereka akan memasuki pintu berlepas C6 sebelum pukul 4.10 petang.

Pada Jumaat lalu, Putrajaya mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan tegas itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini. – MalaysiaGazette