am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Tiga sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran setakat pagi ini.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai berkenaan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 8.62 meter (m) berbanding paras amaran 8 m.
Manakala Sungai Melor di Jambatan Melor juga melebihi paras amaran dengan bacaan 8.06 m berbanding paras amaran 8 m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.42 m berbanding paras amaran 2 m.
Sementara itu, Sungai Golok di Kuala Jambu melepasi paras berjaga-jaga iaitu dengan bacaan 2.05 m berbanding 0.70 m.
Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal.
Dalam pada itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Bachok.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh akan berlaku di seluruh negeri bermula hari ini sehingga Jumaat depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd