3 pemilik syarikat antara 9 didakwa miliki diesel tanpa lesen

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sembilan individu termasuk tiga pemilik syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana memiliki 34,740 liter diesel tanpa lesen, tahun lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 29 hingga 63 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tiga pemilik syarikat iaitu Hasdi Mustapa, 43; Hirool Farihan Hussin, 41 dan Abd Mukmin A. Razak, 36; didapati secara syak munasabah memiliki 29,070 liter barang kawalan iaitu diesel yang juga barang berjadual yang disimpan di dalam tangki simpanan ‘semi trailer’.

Enam lagi tertuduh iaitu Azni Zabar, 39; Mohd Luqman Ramli, 31; Hasrul Azly Mustapa, 32; Mohamad Saufi Abdull Ghapa, 29; Mohd Rozi Mohd Zain, 38; dan Che Harun Mat Jusoh, 63; pula didakwa memiliki baki 5,669.66 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki kenderaan dan tangki tambahan plastik di dua stesen minyak.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berasingan di Dungun pada 6 Julai 2023.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM8,000 membabitkan keseluruhan jaminan berjumlah RM57,000.

Mahkamah juga menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Zaiful Bahrin Kamde dan Mohd Aiman Ariff Mohd Zaida.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top