3 maut, 4 hilang selepas bot laju terbalik langgar kayu hanyut

3 maut, 4 hilang selepas bot laju terbalik langgar kayu hanyut
3 maut, 4 hilang selepas bot laju terbalik langgar kayu hanyut

Sebuah bot laju yang membawa 30 penumpang terbalik di Bulungan, Kalimantan Utara pada Isnin. Foto hiasan 123RF

JAKARTA – Sebuah bot laju yang membawa 30 penumpang terbalik di Bulungan, Kalimantan Utara pada Isnin, mengorbankan tiga orang dan menyebabkan empat yang lain hilang, kata pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku di Sungai Temangga kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan selepas bot itu dilaporkan melanggar kayu hanyut besar sebelum tenggelam.

Ketua Polis Kalimantan Utara, Inspektor Jeneral Hary Sudwijanto berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan semua sumber yang ada dikerahkan bagi mengesan serta menyelamatkan penumpang yang hilang.

“Kami memaksimumkan usaha pencarian di sepanjang Sungai Kayan. Pasukan gabungan telah dihantar ke beberapa lokasi strategik untuk mempercepatkan proses ini. Keutamaan kami adalah menyelamatkan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pejabat Mencari dan Menyelamat Tarakan, bot laju itu berlepas dari Pulau Tias di Tanjung Palas Tengah menuju ke Tanjung Selor selepas penumpang menghadiri majlis perkahwinan.

Mangsa yang terselamat, termasuk mereka yang memerlukan rawatan perubatan, telah dibawa ke hospital di Tanjung Selor selepas diselamatkan oleh sebuah bot laju berhampiran serta pasukan penyelamat, kata Ketua Operasi agensi itu, Didik Hariana. – Bernama

Scroll to Top