3 lelaki pecah kedai, curi wayar diberkas

3 lelaki pecah kedai, curi wayar diberkas

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki memecah masuk kedai dan mencuri wayar elektrik di Taman Bandar Baru, Kota Puteri di Masai di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, tiga lelaki itu diberkas selepas seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun membuat aduan kedainya dipecah masuk.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati wayar elektrik dipotong dan dicuri.

“Bertindak atas maklumat, pasukan memberkas tiga lelaki berusia 35 hingga 51 tahun di kawasan Taman Megah Ria pada 6 petang semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemotong wayar, satu beg silang dan satu guni yang mengandungi beberapa gulung wayar pelbagai jenis turut dirampas.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati semua suspek mempunyai lebih daripada lima rekod jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya mempunyai rekod orang dikehendaki.

Mohd Sohami berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Mereka direman tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Disember,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top