hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Lelaki warga Bangladesh melecur dalam kebakaran yang memusnahkan tiga kilang di Jalan Kampung Baru, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.41 tengah hari tadi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Jurucakap JBPM Selangor berkata, lelaki warga asing itu melecur tahap dua dan sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Katanya, kejadian itu turut membabitkan sebuah Toyota Hilux yang musnah terbakar 100 peratus dan sebuah kereta yang terbakar 10 peratus.
“Kebakaran membabitkan kilang kain dan kilang kitar semula yang terbakar 80 peratus, manakala kilang besi pula terbakar 70 peratus dan sebuah lagi iaitu kilang kayu yang terbakar 90 peratus.
“Kebakaran sudah berjaya dikawal pada 2.51 petang dan kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Bukit Jelutong, BBP Damansara dan BBP Selayang.
© New Straits Times Press (M) Bhd