Penyanyi Ziana Zain menjelaskan dia hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasua (SPRM) pada Khamis lalu bukan sebagai suspek.
Memetik mStar Online, Ziana berkata dia hanya membantu siasatan serta menjelaskan peranannya sebagai duta syarikat kewangan yang kini dalam siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
BACA: “Kak Gee Menyanyi Je” – Didakwa Bakal Dipanggil SPRM, Ziana Zain Enggan Komen
“Pihak SPRM pun ada beritahu saya dipanggil untuk membantu dan menjelaskan saya bukan suspek. Ketika siasatan mereka tanya berapa lama mengenali dan buat apa (dengan syarikat tersebut) itu saja. Jadi saya beritahu saya dalah duta, menyanyi dan selebihnya hanya berbual,” katanya.
Disoal siasat selama tiga jam, Ziana berkata siasatan tersebut sudah pun selesai sepenuhnya dan dia menyangkal kononnya menerima bayaran mencecah RM400,000.
“Yang dilantik jadi duta ramai, jadi ‘belanjanya’ pun besar, kadang-kadang jumlah itu bukannya kita dapat semua. Tapi Alhamdulillah, bahagian saya dan duta-duta lain sudah pun selesai tapi dari segi siasatan selanjutanya saya tak tahu,” katanya.
Sementara itu, Ziana berkata siasatan tersebut tidak mengganggu kerjaya seni serta tidak menyangka buat pertama kali berdepan siasatan pihak berkuasa biarpun sebelum ini sudah banyak kali menjadi duta.
“Ini kali pertama saya berdepan situasi begini. Kata orang, dalam berbelas-belas (kali) yang kita pernah jadi duta, kadang-kadang mungkin ada satu yang jadi begini.
“Kita ini hanya tahu secara permukaan sahaja dan tak tahu apa di sebalik syarikat itu. Bagi saya, mereka (syarikat terbabit) juga masih dalam siasatan, jadi tidak boleh terus tuduh mereka bersalah atau tidak. Pada masa akan datang, saya juga tidak akan tahu,” katanya.
SUMBER: mStar Online