29,934 murid tahun satu mula bersekolah di Kedah

29,934 murid tahun satu mula bersekolah di Kedah

SUNGAI PETANI: Seramai 29,934 orang murid tahun satu menjadi sebahagian daripada 349,966 murid dan pelajar yang memulakan sesi akademik 2025/2026 di negeri ini, hari ini.

Mereka mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan di 548 buah sekolah rendah di seluruh negeri yang kembali dibuka untuk penggal seterusnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman berkata, daripada 349,966 orang itu, seramai 200,575 merupakan murid sekolah rendah dan bakinya pelajar sekolah menengah.

“Sebanyak 752 buah sekolah membabitkan 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah telah mula beroperasi hari ini. Kemasukan murid darjah satu bagi tahun 2025 adalah seramai 29,934 orang manakala pelajar tingkatan satu berjumlah 30,194 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang, di sini, hari ini.

Tambahnya, pengoperasian kesemua sekolah di Kedah hari ini berjalan lancar dengan kerjasama seramai 30,011 orang guru dan 4,320 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Katanya, pelbagai aktiviti serta program menarik telah dirancang oleh guru-guru di setiap sekolah pada minggu pertama persekolahan tanpa proses pembelajaran.

“Kita bagi ruang untuk guru-guru dan murid-murid mengeratkan silaturahim pada minggu pertama sesi persekolahan ini dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top