285 hektar kebakaran hutan di Pekan padam sepenuhnya

285 hektar kebakaran hutan di Pekan padam sepenuhnya

KUANTAN: Kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas 285.49 hektar di Kampung Cenderawasih, Ladang Nenas dan Palm Valley, Pekan yang berlaku sejak 7 Mac lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, kejayaan itu hasil usaha berterusan anggota bomba bersama agensi-agensi berkaitan sepanjang kira-kira 18 hari operasi dijalankan.

Menurutnya, walaupun api sudah dipadamkan sepenuhnya, pihaknya tetap meneruskan pemantauan rapi termasuk menggunakan dron dan rondaan fizikal bagi mengelakkan kebakaran berulang.

ā€œPemantauan secara berkala akan dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang boleh mencetuskan semula kebakaran.

ā€œLangkah sama turut dilaksanakan di kawasan Gebeng di sini yang sebelum ini mengalami kebakaran hutan bagi memastikan ia tidak merebak,ā€ katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di pekarangan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Razam turut menasihatkan orang ramai khususnya pemilik premis kediaman agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan peralatan elektrik bagi mengelakkan insiden kebakaran, terutamanya menjelang musim perayaan.

Katanya, statistik menunjukkan banyak kejadian kebakaran berpunca daripada kecuaian termasuk penggunaan peralatan elektrik dan kelalaian semasa memasak.

ā€œAntara kes biasa berlaku adalah mangsa terlupa menutup api selepas memanaskan makanan, terutamanya pada waktu malam.

ā€œSelain itu, saya juga ingin mengingatkan supaya laluan kecemasan di dalam rumah sentiasa dalam keadaan baik dan tidak dihalang oleh sebarang objek,ā€ katanya. – UTUSAN

Scroll to Top