27 pasukan hangatkan Liga Hoki 5s

27 pasukan hangatkan Liga Hoki 5s

LIGA Hoki 5 Sebelah (5s) Malaysia 2024 bakal membuka tirai pada 16 hingga 20 Julai ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan 15 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita akan berentap bagi merebut kejuaraan musim 2024.

Format bagi musim ini menyaksikan setiap kategori lelaki dan wanita akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A (lelaki) akan menampilkan Pahang, Pulau Pinang, Melaka, PDRM, Perlis, Sarawak dan Perak.

Kumpulan B (lelaki) pula dihuni oleh ATM, Terengganu, Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

Bagi kategori wanita pula, Kumpulan C menyaksikan pasukan Selangor, Pulau Pinang, PDRM, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor sementara Kumpulan D akan menampilkan pasukan Pahang, Kuala Lumpur, ATM, Melaka, Kelantan dan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s dan Prestasi Tinggi, Hasnizam Hassan berpuas hati dengan peningkatan penyertaan pasukan pada tahun ini berbanding musim 2023 apabila kategori lelaki menerima penyertaan daripada 11 pasukan, manakala kategori perempuan menyaksikan penyertaan daripada tujuh pasukan.

Beliau berkata, perbezaan pada edisi ketiga ini, walaupun ia kategori terbuka, tetapi pihaknya menetapkan syarat bahawa setiap pasukan perlu mendaftarkan tiga pemain yang berusia Bawah 23 Tahun (B-23).

“Ini bagi memastikan matlamat kami iaitu untuk membangunkan sukan hoki 5s ini bagi persediaan Piala Dunia 2028 dapat dicapai,” katanya dalam sidang media di Bukit Jalil pada Ahad.

Beliau menjelaskan, biarpun Piala Dunia akan berlangsung pada 2028, namun pihaknya perlu melakukan persediaan awal dan percaya pemain yang berusia B-23 itu mampu membantu membangunkan pasukan dan mereka perlu mengutip pengalaman sebanyak mungkin.

Tambahnya, penganjuran liga ini juga akan menjadi medan untuk Jawatankuasa Hoki 5s menilai pemain-pemain yang boleh diserap untuk mewakili pasukan hoki 5s kebangsaan di mana tahun ini pihaknya mempunyai dua kejohanan jemputan yang akan disertai.

“Kami telah menerima jemputan daripada Rusia di mana pasukan lelaki dan wanita akan memenuhi jemputan tersebut bermula 15 hingga 20 Ogos dan pada November kami akan menyertai kejohanan Asian Indoor & Martial Arts Games di Bangkok – Chonburi Thailand pada 25 hingga 30 November.

“Kejohanan ini akan digunakan oleh pasukan hoki 5s lelaki dan wanita negara sebagai salah satu siri persiapan bagi memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk terus mencabar pasukan-pasukan lain di Piala Dunia 2028 nanti.

“Bagi pasukan lelaki, kami mempunyai misi untuk cuba mengekalkan kedudukan terbaik beraksi di pentas akhir,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!