25 Pati diberkas

25 Pati diberkas

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seramai 127 pendatang asing tanpa izin (Pati) diperiksa dalam serbuan menerusi Ops Sapu di tapak pembinaan di Kampung Gong Penaga, Bukit Puteri, Jertih, Besut, hari ini.

Ketika serbuan, kebanyakan mereka sedang nyenyak tidur dipercayai keletihan selepas menyambut malam tahun baharu.

Operasi bermula jam 9 malam hingga 5 pagi yang diketuai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Mohd Yusri Mohd Nor itu dilakukan selepas menerima maklumat awam.

Mohd Yusri berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 Pati, termasuk seorang wanita diberkas atas kesalahan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi masa ditetapkan.

“Pati yang diberkas terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar, empat (Pakistan) dan seorang lelaki warga India,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata, kesemua ditahan mengikut Seksyen 6 (1), (c) Akta Imigresen 1959/63, dan mereka dihantar ke depot tahanan Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Mohd Yusri berkata, operasi yang diadakan itu antara tindakan tegas penguatkuasaan kepada Pati yang masih berada di negara ini susulan berakhirnya Program Repatriasi Migran (PRM), semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top