hifzuddin@bh.com.my
Bukit Kayu Hitam: Seramai 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar, selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.
Kumpulan terbabit tiba di sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 5 petang selepas melengkapkan urusan dokumentasi bersama pihak berkuasa negara jiran berkenaan.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok berjaya memudah cara penghantaran pulang seramai 25 warganegara Malaysia.
Jelasnya, semua rakyat Malaysia itu kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu proses siasatan selanjutnya.
“Mereka adalah sebahagian daripada yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi pembanterasan sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy Wilayah Kayin, Myanmar.
“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang terbabit sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok,” katanya.
Beliau berkata, Pegawai Kedutaan bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa Thailand di sempadan Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak untuk menguruskan kepulangan rakyat Malaysia terbabit melalui jalan darat.
Katanya, bantuan konsular yang menyeluruh juga telah diberikan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, merangkumi tugas menghubungi waris dan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara.
“Pihak kedutaan turut mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.
“Proses penghantaran pulang ini adalah kesinambungan kepada proses yang pernah dilakukan bagi 15 orang rakyat Malaysia yang dibawa pulang Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok pada 24 Februari lalu,” katanya.
Katanya, kejayaan proses penghantaran pulang kali ini juga disumbangkan kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
© New Straits Times Press (M) Bhd