24 kubur lama terjejas hakisan sejak November lalu

24 kubur lama terjejas hakisan sejak November lalu

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Sebanyak 24 kubur lama di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Maras di sini, terjejas akibat hakisan pantai dalam tempoh November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras Mohd Isshamudin Ismail berkata, sebanyak 12 daripada kubur berkenaan yang mengalami kerosakan teruk dipindahkan ke tanah perkuburan lain, manakala 12 lagi dibaiki termasuk membina penghadang ombak selepas berlaku mendapan tanah di kawasan kubur terbabit.

Menurutnya, kerja memindah dan membaiki kubur terbabit dilakukan secara berperingkat bermula akhir November lalu.

“Kerja memindah dan membaiki dilakukan sebanyak empat peringkat. Kali pertama dan ketiga membabitkan kerja memindah kubur yang terjejas teruk, manakala kali kedua dan keempat membabitkan kerja membaiki kubur yang mengalami kerosakan kecil seperti tanah mendap,” katanya.

Mohd Isshamudin berkata, 12 kubur yang tidak dapat diselamatkan selepas mengalami kerosakan teruk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Gong Awang Lik di Kampung Mengabang Telipot.

Menurutnya, ombak besar sehingga 2.4 meter dengan angin kencang bermula 6 petang semalam menyebabkan lima lagi kubur terjejas dan mengalami kerosakan kecil tengah malam tadi.

“Kerja membaiki kubur berkenaan termasuk menambak batu bagi meminimakan kelajuan ombak dilakukan bermula 8 pagi hari ini.

“Kos bagi kerja penambakan ini adalah hasil sumbangan orang ramai serta penduduk beberapa kampung berhampiran kawasan ini,” katanya.

Penduduk, Shaari Mohamad, 59, berkata, kerajaan perlu mempercepatkan projek pembinaan pulau tiruan bagi mengelak hakisan berlaku lebih di sepanjang pantai berkenaan.

“Projek membina pulau tiruan itu sepatutnya dilakukan pada Mac lalu tetapi sehingga kini tidak nampak satu pun pulau (tiruan) yang sudah siap dibina,” katanya.

Shaari merupakan anak jati kampung berkenaan berkata, jika keadaan ini berterusan dia percaya Kampung Pengkalan Maras dan beberapa kampung berhampiran hanya tinggal nama.

“Kubur lama ini juga akan lenyap suatu hari nanti jika begini keadaannya,” katanya.

Menurutnya, akibat hakisan, bukan sahaja tanah perkuburan yang terjejas malah, jalan, kedai, kediaman, harta benda, pokok, jeti nelayan dan kawasan rekreasi semua musnah dan dihanyutkan ombak.

“Tidak tahu bila masalah ini (hakisan) akan berakhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top