23 tahun tidak perbaharui Lesen Kenderaan Motor

23 tahun tidak perbaharui Lesen Kenderaan Motor

am@hmetro.com.my

Ipoh: Motosikal yang sudah 23 tahun tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) antara 15 motosikal yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam operasi di Silibin, di sini hari ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, motosikal itu dikesan selepas penunggang berusia 61 tahun yang juga pemilik bengkel motosikal ditahan di Jalan Silibin-Ipoh.

Katanya, ketika ditahan, lelaki itu memberi alasan motosikal berkenaan jarang dibawa ke jalan raya utama sebaliknya hanya mengelilingi taman perumahan.

“Pemeriksaan rutin dan semakan dibuat mendapati LKM kenderaan itu tamat tempoh sejak 2002, justeru tindakan diambil terhadap pemilik kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan sudah didaftarkan, tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, kesalahan tidak memperbaharui LKM boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Pada operasi itu, Mohammad Yusoff berkata, pihaknya memeriksa 1,450 kenderaan yang terdiri daripada 950 motosikal, kereta (491) dan bas (5).

Menurutnya, daripada jumlah itu, 584 kenderaan diambil tindakan, meliputi 566 motosikal dan 18 motokar, manakala 626 notis dikeluarkan, termasuk notis sitaan terhadap 15 motosikal dan dua motokar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top