220 siswa UiTM Shah Alam sambut Aidilfitri di kampus

220 siswa UiTM Shah Alam sambut Aidilfitri di kampus

SHAH ALAM:  Tiket kapal terbang yang mahal dan mahu timba pengalaman beraya diperantauan antara sebab mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurafiqah Aqilah Azali Sarugi dan Ahmad Yasin Imaddudin Abd Hamid memilih untuk menyambut Aidilfitri di kampus.

Mereka  sebahagian daripada 220 mahasiswa yang tidak pulang berhari raya dan diraikan dalam satu sambutan Aidilfitri bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi di kampus universiti itu di sini.

Mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda (ISM) Kejuruteraan (Kepujian) Minyak dan Gas, Nurafiqah Aqilah, 22, berkata, dia reda tidak dapat bersama keluarga untuk menyambut hari raya berikutan harga tiket penerbangan pulang ke Tuaran, Sabah terlalu mahal.

“Memang suatu pengalaman yang baharu bila berjauhan dengan keluarga ketika menyambut hari raya, sebak juga bila lihat kawan-kawan pulang ke kampung halaman masing-masing, tetapi saya tidaklah terlalu sedih sebab tidak bersendirian di sini.

“Cuma, lebih terharu bila pengurusan universiti dan rakan mahasiswa lain, kita bersama-sama menyambut raya. Ada juga staf yang tidak pulang, awal-awal pagi mereka sediakan juadah untuk kami nikmati bersama-sama di pagi raya,” katanya.

Sengaja

Sementara itu, mahasiwa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Multimedia, Ahmad Yasin Imaddudin, 21, berkata, dia sengaja tidak pulang berhari raya bersama keluarga walaupun kampungnya terletak di Kuala Nerus, Terengganu.

“Sebelum ini bila pulang, saya melihat rakan-rakan yang tidak dapat balik terutama berasal dari Sabah dan Sarawak. Jadi, kali ini saya ingin merasai bagaimana agaknya bila beraya sebagai perantau.

“Memang rasa lebih berdikari menangani emosi sendiri dan dalam masa sama memang rasa kelainan dalam keseronokan meraikan Aidilfitri bersama rakan-rakan atau keluarga.

“Di sini pun terasa seperti ‘keluarga’ bila hari raya diraikan bersama staf yang tidak pulang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Sazili memberitahu, mahasiwa yang tidak pulang berhari raya dipastikan tidak bersendirian, justeru UiTM merangka program bersama mereka termasuk menyedikan juadah untuk dua hari berturut-turut.

“Ramai juga mahasiswa yang jauh daripada keluarga tidak pulang kerana cuti cuma seminggu dan sebahagian mereka juga mengambil kesempatan untuk menyiapkan tugasan selain menimba pengalaman beraya di kampus.

“Bukan saya sahaja bersama mereka, malah Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor turut menyampaikan salam dan mahu ada diadakan program hari raya bersama mahasiswa-mahasiswa yang tidak pulang. Memang mereka sedih, tetapi inilah pengalaman,” katanya.- UTUSAN

Scroll to Top