22 ahli sindiket tawaran kerja sambilan tak wujud direman

22 ahli sindiket tawaran kerja sambilan tak wujud direman

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Tiga individu bawah umur antara 22 suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud, direman dua hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 35 tahun termasuk dua remaja perempuan, tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 2 petang sebelum dibawa masuk untuk mendapat perintah reman.

Berdasarkan laporan, mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 12.45 malam tadi.

Ia susulan hasil maklumat serta risikan dijalankan sekali gus membolehkan polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Suloh, di sini, yang dipercayai dijadikan markas untuk menjalankan kegiatan itu.

Hasil siasatan awal mendapati modus operasi digunakan suspek ialah mensasarkan warga asing terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sebagai mangsa.

Suspek akan menghantar tawaran kerja sambilan melalui Telegram dengan turut menyediakan pakej tertentu kepada mereka yang berminat.

Jika ada individu berminat, mereka berjanji akan membayar upah pada kadar ditetapkan dengan mangsa juga dikehendaki membayar sejumlah wang sebelum menyertai pekerjaan itu.

Pada masa sama, setiap suspek yang menjalankan kerja itu akan dibayar RM3,000 sebulan dan ganjaran akan diberikan kepada sesiapa yang berjaya menipu mangsa.

Siasatan juga mendapati sebahagian daripada mereka sudah menjalankan kegiatan penipuan ini sejak enam bulan selain ada antara mereka baru dua hari bekerja.

Kesemua suspek kini dibawa ke lokap IPD Batu Pahat sementara menunggu pertuduhan terhadap mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top