am@hmetro.com.my
Georgetown: Sebanyak 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang di Pulau Pinang menyatakan pendirian teguh bersolidariti bersama rakyat Palestin sekali gus mengutuk rejim Israel yang terus mengingkari perjanjian gencatan senjata dan melancarkan serangan terhadap penduduk Gaza.
Wakil gabungan yang juga Pengarah I, Citizens International Malaysia, Mohideen Abdul Kader berkata, Hari Al-Quds Sedunia yang disambut pada Jumaat terakhir Ramadan minggu ini menjadi detik penting untuk masyarakat antarabangsa memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sekian lama hidup dalam penindasan dan kehilangan hak asasi mereka.
“Gaza kini mengalami salah satu bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam sejarah moden sejak Oktober 2024 dengan puluhan ribu rakyat Palestin dibunuh dalam serangan udara, pengeboman artileri dan pembunuhan terancang oleh Israel.
“Gencatan senjata yang kononnya dimeterai di Gaza sekali lagi dilanggar oleh Israel, membuktikan bahawa rejim Zionis tidak pernah berniat untuk berdamai tetapi hanya mahu menghapuskan rakyat Palestin.
“Justeru, masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera kerana ini adalah jenayah perang tahap tertinggi dan mereka yang bertanggungjawab mesti diheret ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Antara NGO yang menyertai gabungan itu ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Pendidikan Terbang Tinggi Malaysia, Komuniti Pondok Sukun (Kompos), Pertubuhan Kebajikan Aman Patani Malaysia, Yayasan Nurul Islam dan Pusat Keamanan dan Kelestarian Pulau Pinang.
Mohideen berkata, gabungan NGO itu turut menyeru Mesir agar membatalkan Perjanjian Damai Camp David dan menghentikan segala bentuk kerjasama dengan Israel serta membuka sempadan Rafah untuk membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta sokongan ketenteraan kepada Gaza.
Pihaknya juga menggesa negara yang menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bergerak secara lebih proaktif melangkaui retorik dan mengambil langkah nyata untuk menghadapi aparteid, kezaliman serta genosid yang dilakukan oleh Israel.
Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya turut melancarkan Kempen Semarak Bendera Palestin di Pulau Pinang bertujuan menyatukan rakyat untuk terus menunjukkan solidariti dan memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya menggunakan pendekatan diplomastik, ekonomi dan sosial.
“Kami menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk turut serta dalam kempen ini dan bendera Palestin bukan sekadar kain tetapi tetapi simbol perjuangan kemanusiaan dan kebebasan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Mapim menghantar sumbangan sebanyak RM23 juta kepada Palestin sejak 7 Oktober lalu dengan RM2 juta disalurkan pada Ramadan ini saja untuk menampung perbelanjaan penduduk yang kini berdepan krisis perang.
© New Straits Times Press (M) Bhd