20,000 murid sekolah guna vape

20,000 murid sekolah guna vape

KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 murid sekolah dikesan terlibat dalam kegiatan penggunaan rokok elektronik atau vape.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, kementeriannya dapati terdapat trend peningkatan dalam isu penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah.

Kata beliau, perkara tersebut didapati berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Bagi vape kami tidak menafikan bahawa menandakan satu trend yang meningkat. Pada 2024, sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit.

“Ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memintanya menyatakan statistik pembabitan murid sekolah dengan vape.

Mengulas lanjut, Kah Who berkata, trend merokok dalam kalangan murid sekolah pula menunjukkan penurunan iaitu 3,704 orang dikesan terlibat dalam kegiatan merokok.

“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.

“Untuk semua kes terbabit ini juga, (KPM) melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada.

Tambahnya, semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa membantu Kementerian Pendidikan supaya kesedaran tentang keburukan bahaya rokok elektronik dapat ditingkatkan. – UTUSAN

Scroll to Top