20 tahun di balik tirai besi, bekas banduan Al-Maunah kesal terpedaya ajakan rakan

20 tahun di balik tirai besi, bekas banduan Al-Maunah kesal terpedaya ajakan rakan

Kota Bharu: Pengalaman berada di balik tirai besi selama 20 tahun menjadi pengajaran yang memeritkan buat bekas banduan pergerakan Al-Maunah, Mohd Ramli Mahmood akibat perbuatannya yang mudah terpedaya dengan ajakan rakan mengenai ajaran tersebut.

Mohd Ramli, 70, atau mesra disapa Abe Li berkata disebabkan terlalu percaya kata-kata rakannya bahawa ajaran itu hanya melibatkan ilmu perubatan dan persilatan, dia mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang menyertai pergerakan haram itu pada tahun 2000.

“Saya mula menyertai Al-Maunah ketika berusia 47 tahun bersama 29 ahli yang lain sebab pada awalnya saya ingatkan pergerakan ini untuk mempelajari ilmu perubatan dan persilatan.

“Tidak disangka rupa-rupanya gerakan ini untuk mengancam negara dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di Program Semarak Merdeka 67 di sini hari ini, yang dihadiri Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Jefny Muhammad.

Bapa kepada lapan orang anak itu turut menasihatkan kepada generasi muda kini supaya tidak sesekali terpengaruh dengan rakan yang mengajak untuk menyertai pergerakan atau pertubuhan yang bertentangan ajaran Islam dan menggugat ketenteraman negara.

“Kehidupan serta hukuman yang dijalani selama 20 tahun di Penjara Kajang dan Machang banyak memberi pengajaran kepada saya supaya tidak mudah terpedaya dengan sesiapa termasuk rakan sendiri.

“Saya harap golongan muda kini tidak mudah terpengaruh dengan trend ajaran atau gerakan baharu yang ingin memusnahkan keharmonian negara,” katanya.

Mohd Ramli melahirkan rasa syukur apabila terlepas daripada menjalani hukuman penjara seumur hidup setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan kepadanya untuk dibebaskan pada 2020.

Sementara itu, Jefny berkata sebanyak 67 motosikal pelbagai jenis termasuk motosikal berkuasa tinggi, kapcai dan skuter menyertai konvoi di sekitar Kota Bharu sempena program Semarak Merdeka 67.

“Peserta konvoi turut berhenti di Sekolah Kebangsaan Seribong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Enggang untuk mengagihkan Jalur Gemilang dan bersama-sama pelajar menyanyikan lagu patriotik bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd