JERANTUT: Seramai 20 anak yatim dari Felda Jengka 24 sini ceria dibawa ke pasaraya Mydin Cawangan Jengka di sini bagi membeli kelengkapan sekolah berupa pakaian, beg, kasut dan alat tulis menjelang sesi persekolahan baharu 2025, pertengahan Februari ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, menerusi inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24 itu, setiap anak yatim menerima sumbangan RM300 seorang sebagai tanda prihatin terhadap keperluan kewangan ibu atau bapa tunggal menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Ini merupakan program tahunan, namun buat pertama kalinya tahun ini, anak-anak yatim terbabit dibawa ke pasaraya dan diberikan kebebasan memilih sendiri keperluan sekolah berbanding sebelum ini diberikan wang tunai dan membelinya bersama ibu dan bapa.
“JKKR dan pentadbiran masjid tidak meminggirkan anak-anak yatim yang kehilangan tunggak keluarga malah mereka dibantu bukan sahaja menjelang sesi persekolahan 2025 tetapi juga menjelang hari raya,” katanya selepas program menyantuni anak yatim di Bandar Pusat Jengka di sini hari ini.
Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka berharap program sedemikian menjadi contoh kepada pentadbiran 36 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka kerana ia selari dengan tuntutan agama Islam.
Pengerusi Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24, Ishak Abdul Ghani, 69, berkata, sumbangan pakaian dan peralatan sekolah kepada anak yatim terbabit membuktikan masyarakat peduli dan menyayangi golongan terbabit.
“Diharap dengan bantuan ini mereka lebih bersemangat dan ceria mengikuti proses pembelajaran pada sesi persekolahan 2025. Mereka dianggap sebagai permata hati masyarakat Felda Jengka 24,” katanya. – UTUSAN