hafidzul@hmetro.com.my
Subang Jaya: Siasatan dan pemeriksaan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, di sini akan dilakukan 20 agensi, hari ini.
Antara agensi yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat pagi ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan, namun akan dibuka secara berperingkat kepada penduduk terjejas.
“Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi yang terbabit bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan perlu dilakukan di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya memulakan beberapa gerak kerja utama termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas susulan insiden letupan paip gas terbabit.
Beliau berkata, satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, jika berlaku insiden kebakaran.
“Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung dengan pendawaian elektrik khususnya pada elektrik yang terdedah… kita akan melihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan kita buat penyambungan segera di kawasan itu,” katanya.
Selain itu, Nor Hisham berkata, pasukan bomba juga memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Dari segi keselamatan juga, kita akan mula melihat kepada struktur rumah-rumah yang terbakar dan juga yang terkena letusan itu. Kalau yang tak selamat ataupun membahayakan, mungkin kita buat kerja-kerja meruntuhkan contohnya struktur seperti bumbung yang boleh kita runtuhkan,” katanya.
Beliau berkata, JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan ibu pejabat untuk mempercepat proses siasatan dan memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka secepat mungkin.
Tinjauan setakat ini mendapati puluhan penduduk yang terjejas dalam insiden berkenaan sudah berkumpul di lokasi kejadian seawal 7.30 pagi bagi mengetahui perkembangan dan status rumah mereka, selain menunggu giliran untuk pulang ke rumah untuk mendapatkan barang keperluan serta dokumen penting.
Selain itu, Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman turut dilihat masuk ke lokasi kejadian pagi ini.
Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
Maklumat terkini kebakaran saluran gas di Putra Heights
© New Straits Times Press (M) Bhd