2 wanita Indonesia lupus jam Rolex curi didenda RM5,000

2 wanita Indonesia lupus jam Rolex curi didenda RM5,000

am@hmetro.com.my

Georgetown: Dua wanita warga Indonesia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Jenyah 3 di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melupuskan jam tangan Rolex yang dilapor hilang ketika mereka diupah melakukan kerja pembersihan di sebuah rumah pada 10 Mac lalu.

Tertuduh, Dwi Septiani, 30, dan Melisa Rorenza @ Melisa Rorencza, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap kedua mereka dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mahkamah turut mengarahkan kedua tertuduh dipenjarakan selama enam bulan jika tidak membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama dengan sengaja melupuskan harta curi berupa jam tangan Rolex milik seorang wanita tempatan berusia 68 tahun yang dilaporkan hilang yang mana mereka mempunyai sebab untuk mempercayai jam itu adalah barangan curi.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di pondok pengawal berhampiran Blok 21 Lone Pine Air Itam pada 10.30 malam 10 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Cheah Eng Soon.

Terdahulu Eng Soon memaklumkan kedua tertuduh pernah berkahwin dan mempunyai anak.

“Tertuduh pertama menanggung dua anak dan tertuduh kedua pula mempunyai seorang anak,” katanya.

“Pengadu mendakwa mendapatkan khidmat pembersihan rumah menerusi FB dan semakan polis mendapati akaun berkenaan sudah tidak ditemukan,” katanya.

Harian Metro pada Selasa lalu melaporkan dua pekerja perkhidmatan pembersihan ditahan polis pada 17 Mac lalu selepas disyaki mencuri ketika melakukan kerja pembersihan dalam bilik tidur sebuah rumah di Sungai Nibong, dekat sini pada 10 Mac lalu.

Pengadu mendakwa mendapatkan khidmat pembersihan rumah menerusi laman Facebook dan semakan polis mendapati akaun berkenaan sudah tidak ditemukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top