2 saksi kanak-kanak lakon semula kali terakhir lihat Zayn Rayyan, cam Ismanira

2 saksi kanak-kanak lakon semula kali terakhir lihat Zayn Rayyan, cam Ismanira

surayaroslan@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Dua saksi kanak-kanak membuat lakonan semula di lokasi kejadian di mana kali terakhir mereka melihat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai pada hari kehilangan kanak-kanak autistik itu, 5 Disember 2023.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian berkata, dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun itu yang dibawa ke lokasi kejadian semalam, menyambung keterangan dalam prosiding tertutup secara ‘in-camera’ di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Dua saksi kanak-kanak itu iaitu saksi pendakwaan ke-14 dan ke-15, selesai memberi keterangan di mahkamah hari ini.

“Salah seorang saksi turut membuat pengecaman wajah tertuduh, Ismanira Abdul Manaf dan mengenali wanita itu sebagai ibu Zayn Rayyan,” katanya pengecaman dibuat di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Kamarul Iman berkata, prosiding hari ini turut membabitkan pemeriksaan balas daripada peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahari.

“Dua kanak-kanak ini memaklumkan kepada mahkamah melihat Zayn Rayyan kali terakhir pada tengahari, 5 Disember 2023,” katanya.

Prosiding hari ini berlangsung secara tertutup kerana saksi kanak-kanak dikategori sebagai saksi terlindung.

Dua kanak-kanak itu antara enam saksi yang dibawa ke lokasi kejadian di Apartment Idaman, Damansara Damai semalam.

Ia bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci di kawasan pencarian kehilangan Zayn Rayyan.

Selain dua saksi kanak-kanak itu, empat saksi lain yang dibawa ke lokasi kejadian adalah dua pegawai penyiasat iaitu Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip serta dua wanita yang juga jiran Zayn Rayyan iaitu Rashidah Rajali dan Siti Natrah Ismail.

Setakat ini, seramai 20 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan terhadap kedua-dua pasangan terbabit.

Pendakwaan memaklumkan, senarai berkenaan mungkin bertambah berbanding bilangan asal iaitu 32 saksi sebelum ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan Dr Syahliza serta pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan yang didakwa mengabaikan kanak-kanak itu tiba di Apartment Idaman kira-kira jam 10 pagi.

Pada 5 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis dibuat ibu Zayn Rayyan.

Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan itu.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan, 30, dan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding bersambung pada 11 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top