am@hmetro.com.my
Port Dickson: Dua sahabat maut, seorang lagi parah apabila kereta yang di pandu hilang kawalan dan melanggar belakang lori tangki di Kilometer 27.2 LebuhrayaSeremban – Port Dickson (SPDH) arah ke Port Dickson pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mustaffah Husin berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 6.20 pagi tadi antara kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki dari arah Seremban ke Port Dickson.
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun itu dari arah Seremban menghala ke Port Dickson melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tangki yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dari arah yang sama dan menyebabkan kereta mangsa berpusing lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Pemandu dan penumpang belakang masing-masing berusia 21 dan 20 tahun mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan berusia 26 tahun pula mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.
Pemandu lori tangki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Zulhelmi Azman di talian 016-9984806 atau boleh terus ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu
siasatan,” katanya.
Mustaffah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Media difahamkan semua mangsa dalam perjalanan balik ke rumah keluarga mereka di Teluk Kemang dan jenazah kedua mereka sudah dituntut ahli keluarga sebaik selesai bedah siasat di Bilik Mayat Hospital Port Dickson.
© New Straits Times Press (M) Bhd