2 maut, 5 cedera dalam kemalangan 3 kenderaan di Jengka

2 maut, 5 cedera dalam kemalangan 3 kenderaan di Jengka

am@hmetro.com.my

Maran: Dua maut dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Utama Jengka 3, berhampiran Kilang Sawit Jengka 3 di sini, pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira 7.20 pagi itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Perodua Myvi dan MPV Toyota Avanza.

“Terdapat seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dalam Perodua Alza, manakala terdapat seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa dalam Toyota Avanza.

“Kereta Perodua Myvi pula dipandu oleh seorang wanita,” katanya.

Katanya, anggota bomba tiba di tempat kejadian dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat, selain membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi keadaan berbahaya di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd