am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam, di sini, petang tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 4.50 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Kuala Krai termasuk tiga bomba sukarela (PBS) Guchil bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Axia, Honda City dan lori lima tan.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat empat individu di dalam Perodua Axia dan dua daripadanya termasuk pemandu disahkan meninggal dunia.
“Mangsa tersepit di dalam Perodua Axia dikeluarkan manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, bagaimanapun, pemandu Honda City dan pemandu lori lima tan tidak mengalami kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd