2 lelaki ditahan, tipu guna resit palsu selepas makan di restoran

2 lelaki ditahan, tipu guna resit palsu selepas makan di restoran

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tipu guna resit palsu, itu taktik licik dua lelaki termasuk seorang juruaudit yang akhirnya mengundang padah apabila dicekup polis selepas didakwa memperdaya peniaga restoran di Seksyen 13, di sini, minggu lalu.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan jam 2.50 pagi, hari ini di sekitar bandar raya ini, selepas polis menerima laporan daripada peniaga wanita memaklumkan ditipu individu terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 14 April sekitar 10.18 malam apabila suspek menunjukkan resit pembayaran atas talian berjumlah RM304.50 ketika membuat pembayaran selepas menjamu selera di restoran terbabit.

“Bagaimanapun, selepas semakan dibuat oleh mangsa, didapati tiada sebarang kemasukan wang ke akaun perniagaannya dan hanya sedar ditipu, semalam.

“Mangsa turut memaklumkan ia kali kedua individu yang sama menggunakan taktik terbabit dengan jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM348.10,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah.

Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis turut mengingatkan peniaga supaya berwaspada terhadap resit pembayaran digital khususnya yang ditunjukkan pelanggan secara manual atau tangkap layar.

“Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top