2 kedai akuarium diserbu jual ikan larangan

2 kedai akuarium diserbu jual ikan larangan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Taktik licik dua kedai akuarium di daerah Petaling menjual ikan larangan dengan berselindung di sebalik jualan dalam talian terbongkar selepas diserbu Jabatan Perikanan Selangor, semalam.

Difahamkan, kedua-dua premis tidak dibuka kepada orang awam, namun dibuka khas untuk pembeli bagi tempahan dalam talian.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya merampas 174 ikan pelbagai jenis dan saiz.

“Antara yang ditemui adalah Spotted Gar, Peacock Bass, Amazon Red Tail Catfish (RTC), Tiger Shovelnose Catfish, Emperor Blue Hook, Arapaima dan Silver Dollar.

“Kertas siasatan sudah dibuka terhadap kedua-dua perniagaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Noraisyah berkata, semua pihak diingatkan supaya mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Larangan pemilikan ikan larangan adalah di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB Bagi Ikan) (Pindaan 2024).

“Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan sijil kebenaran mengimport, memiliki, menjual, menternak dan mempamer (5M) boleh menghubungi Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor KLIA di talian 03-87874542,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top