2 bulan tinggal dalam kereta, Faiq akhirnya dapat PPR

2 bulan tinggal dalam kereta, Faiq akhirnya dapat PPR

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Harga rumah sewa yang perlu dibayar bersama deposit tiga bulan, menyebabkan pasangan suami isteri di sini, tiada pilihan sehingga terpaksa tinggal di dalam kereta serta berpindah randah selama dua bulan.

Faiq Lubis Mat Jaya, 39, berkata beliau dan isterinya, Rohana Abu Bakar, 43, mengambil keputusan tinggal sementara di dalam kereta susulan kehilangan pendapatan sebagai penjual air kelapa sejak dua bulan lalu.

Katanya, musim tengkujuh yang melanda menyebabkan jualan air kelapa dan buah berkenaan jatuh merudum sehingga menjejaskan pendapatan keluarga.

“Saya dan isteri mengambil keputusan keluar dari rumah sewa di Gelang Patah berikutan pendapatan kami terjejas dan tinggal sementara di dalam kereta yang diparkir di masjid dan surau kawasan Iskandar Puteri.

“Kami berdua berikhtiar dan gigih mengumpul wang sebagai penghantar makanan bagi membolehkan kami mengumpul duit bagi menyewa rumah baharu.

“Bagaimanapun, sewa rumah yang tinggi yang perlu dibayar bersama deposit tiga bulan menyebabkan kami berdua memerlukan masa lebih lama dan terpaksa tinggal di dalam kereta buat sementara waktu.

“Namun, kami bersyukur Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, prihatin sehingga menegur dan bertanya masalah kami ketika beliau singgah bersolat Zuhur di Masjid Jamek Kota Iskandar, tempat kereta kami diparkir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan pasangan suami isteri yang kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa tinggal di dalam kereta serta berpindah randah selama dua bulan, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai dilaporkan meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk segera menempatkan pasangan berkenaan di PPR Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ, dengan kes pasangan berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira lima jam.

Pegawai Khas Mohd Jafni, Nur Diyana Rail turut hadir meninjau keadaan Faiq dan isterinya selepas ditempatkan di PPR Kempas Permai sejak petang semalam.

Ditanya perasaannya kerana terpaksa tinggal di dalam kereta terpakai jenis Proton Wira Aeroback, Faiq berkata, mereka reda dan insaf dengan ketentuan tuhan.

“Kami fikirkan dalam kubur lagi sempit sebab itu kami sentiasa reda dan insaf ujian yang dihadapi.

“Sekurang-kurangnya, kami masih ada lagi kereta untuk dibuat berlindung dari hujan dan panas berbanding mereka yang langsung tidak memiliki tempat berlindung,” katanya.

Faiq berkata, beliau dan isteri sebenarnya mahu berikhtiar sendiri mendapatkan kediaman sewa baharu walaupun ia mengambil masa lama untuk mengumpul duit sewa dan deposit namun mereka bersyukur dengan bantuan yang diterima itu.

“Sebelum ini kami akan parkir kereta di masjid dan surau kawasan Iskandar Puteri bagi menumpang mandi selain memudahkan solat.

“Untuk makan pula, kami berjimat cermat menggunakan wang harian hasil pendapatan sebagai penghantar makanan untuk beli makanan menggalas perut.

“Pendapatan kami sebagai penghantar makanan tidak tetap kerana ada hari hanya mendapat RM12 kerana tidak mendapat tempahan penghantaran makanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top