mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua beranak maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Gedong, Simunjan, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan diarahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat mangsa (pemandu) masih berada di dalam kereta Proton Wira, manakala tiga lagi mangsa tercampak keluar dari kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang lelaki iaitu pemandu kereta terbabit, Sim Geok Chiew, 37 dan anak perempuannya Alisia Sim, 11, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua lagi iaitu isteri mangsa iaitu Freda Gulong, 36 dan seorang lagi anak mereka, Alysa Sim, 6, parah dan dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd