2 beranak ditahan SPRM disyaki orang tengah pengeluaran pas lawatan IMM13

2 beranak ditahan SPRM disyaki orang tengah pengeluaran pas lawatan IMM13

am@hmetro.com.my

Sandakan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beranak iaitu ibu dan anak perempuan kerana disyaki terbabit dalam pengeluaran pas lawatan IMM13.

Perintah reman tujuh hari sehingga 2 Ogos depan itu dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan di sini, pagi ini.

Sumber berkata, suspek pertama berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan itu bersama anak perempuannya yang berusia 30-an.

Mereka ditahan kira-kira jam 7 malam tadi ketika datang memberi kenyataan di pejabat SPRM Sandakan.

“Kedua-dua ibu dan anak perempuan itu dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 bagi pelarian dari Filipina yang mencari perlindungan di Sabah akibat pergolakan pada awal 1970-an.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam perbuatan itu sejak 2022 membabitkan nilai rasuah berjumlah kira-kura RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu, memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd