am@hmetro.com.my
Kuantan: Dua beradik ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki meletakkan bayi perempuan di pusat perlindungan bayi di sebuah hospital swasta, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita berkenaan masing-masing berusia 24 dan 25 tahun ditahan secara berasingan di Rompin, semalam.
Katanya, pada awalnya pihaknya menahan suspek berusia 24 tahun itu di sebuah rumah tidak bernombor di Rompin, kira-kira 9.50 pagi.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur suspek menemukan satu plastik putih tertera tulisan ubat terkawal didalamnya mengandungi tiga peket plastik lutsinar berisi pil disyaki ubat yang digunakan untuk memaksa kelahiran.
“Pada jam 3 petang hari sama, suspek berusia 25 tahun pula ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 13 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan kelmarin, seorang jururawat yang sedang bekerja di bahagian kecemasan hospital itu mendengar penggera berbunyi di pusat perlindungan itu pada 2.45 petang.
Penggera itu berbunyi memaklumkan bahawa ada bayi di pusat itu, dan ketika itu bayi itu sudah tidak bergerak.
Jururawat itu kemudiannya membawa bayi ke bahagian kecemasan dan melakukan prosedur kecemasan selama 20 minit tetapi gagal menyelamatkan bayi terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd