192,857 salah guna dadah tahun lalu, peningkatan membimbangkan – KDN

192,857 salah guna dadah tahun lalu, peningkatan membimbangkan – KDN

KULIM: Trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun ini merekodkan peningkatan yang ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat pada tahun lalu sekaligus meletakkan kegiatan itu dalam keadaan membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.

Katanya, lebih merisaukan apabila julat umur individu 15 hingga 39 tahun paling tinggi terlibat iaitu sekitar 61 peratus dengan kesemua data dikumpulkan oleh empat pihak iaitu polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan swasta.

“Negeri tertinggi mencatatkan penyalahgunaan ini adalah Kelantan diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah yang keempat-empatnya merupakan negeri berhampiran sempadan antarabangsa.

“Jika mengikut daerah yang mencatatkan kes paling tinggi bagi 100,000 penduduk pula adalah Pendang, Kedah diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar Program AADK Bersama Masyarakat di Padang Serai, hari ini.

Kata Saifuddin, statistik jenis dadah tahun lalu menyaksikan dadah jenis ATS (Amphetamine Type Stimulant) terdiri daripada methamphetamine atau disebut syabu menjadi pilihan selain ekstasi dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 103,990 kes berbanding tahun lepas. 

Bagaimanapun ujarnya, bukan sahaja trend penyalahgunaan dadah sintetik menakutkan bahkan dadah konvensional turut membimbangkan iaitu ganja yang meningkat 7,121 kes atau 63.4 peratus berbanding tahun lalu.

“Oleh itu, melihat kepada masalah yang serius ini baik polis, AADK atau pemimpin politik dan pemimpin masyarakat termasuk di sekolah perlu ada titik temu yang membolehkan kita bekerjasama. Perkara lain boleh ada perbezaan tetapi kena ikut terlibat dalam hal ini supaya kita dapat cari jalan bagi mengatasinya,” katanya.

Tambah beliau, tindakan kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan khususnya Sungai Golok sentiasa ditingkatkan termasuk meletakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq.

“Kita juga perketatkan pintu sempadan dari Padang Besar, Perlis sampai ke Bukit Kayu Hitam. Tapi pada masa sama kalau kempen kesedaran tidak berjalan tak boleh juga kerana kita perlu tindakan yang kolektif untuk menghadapinya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top