19 rumah di Mukim Kupang terjejas akibat banjir kilat

19 rumah di Mukim Kupang terjejas akibat banjir kilat

am@hmetro.com.my

Baling: Kira-kira 19 rumah membabitkan tiga kampung di Mukim Kupang di daerah ini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, antara yang terjejas ialah 10 rumah di Kampung Hangus, Bendang Padang (5) dan Bendang Pecah (4) di Mukim Kupang.

Selain itu, katanya, Kampung Jernang dan Sedim di Mukim Bakai turut terjejas akibat banjir kilat itu, namun pihaknya belum memperoleh jumlah keluarga yang terjejas di mukim itu.

“APM Baling menerima laporan berkaitan banjir kilat ini pada 5 petang dan seramai dua pegawai serta lapan anggota terbabit dalam operasi penyelamatan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka untuk memindahkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemantauan akan dilaporkan dari semasa ke semasa oleh APM dan pihak berwajib lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd