norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Raja Azura atau Kak Engku, 52, menyifatkan dirinya belum menjadi ibu tunggal yang berjaya selagi tiga cahaya matanya belum menggenggam ijazah.
Pemilik nama sebenar, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin ini berkata, sekarang tiga anaknya masih lagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah dan diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
“Selama 17 tahun saya membesarkan anak sebagai ibu tunggal, ia masih belum berjaya lagi. Ini kerana, impian saya untuk tengok mereka menggenggam ijazah belum terlaksana.
“Ketiga-tiganya tak habis belajar di UiTM Shah Alam lagi. Dua anak lelaki saya kini melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dan anak perempuan pula mengambil diploma.
“Saya cuma berharap dapat tengok mereka berjaya dalam pendidikan masing-masing dan itu doa saya untuk anak-anak,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Kak Engku, bukan mudah membesarkan anak bersendiri, namun dia sangat bersyukur Allah mengurniakan kepadanya anak yang baik, rajin, beradab dan menenangkan hati.
“Selepas berpisah, saya sanggup tidak berkahwin baru demi membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur Allah berikan saya anak-anak yang baik-baik, dengar cakap dan senang dijaga.
“Mereka juga rajin dan sentiasa bantu saya membuat kerja-kerja rumah dan hubungan kami anak-beranak sangat rapat. Tapi apabila mereka kini sibuk belajar di universiti, masa kami dapat bersama-sama itu agak terhad.
“Apapun, saya akan pastikan banyak habis masa dengan anak-anak apabila mereka pulang ke rumah ketika cuti semester. Pada masa itu, kami selalu buat aktiviti bersama seperti pergi bercuti dan sebagainya,” katanya.
Ujar bekas pengacara Melodi di TV3 ini, dia juga tidak rela anak-anaknya berkahwin pada usia muda dan berharap mereka dapat membina kerjaya dan kehidupan terlebih dulu sebelum ingin berkeluarga.
Terdahulu, Raja Azura pernah berkahwin dengan Adzmin Osman yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah iaitu Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001.
Bagaimanapun, mereka sah bercerai pada 28 September 2010. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Hakim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20,
© New Straits Times Press (M) Bhd