16 terbunuh dalam serangan peluru berpandu di Ukraine

16 terbunuh dalam serangan peluru berpandu di Ukraine

KYIV – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas bandar Kostyantynivka, Ukraine.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata, mereka yang terbunuh adalah “orang yang tidak melakukan kesalahan” dan memberi amaran angka kematian boleh meningkat.

Kostyantynivka, di wilayah Donetsk timur Ukraine, terletak berhampiran barisan hadapan Rusia.

“Kejahatan Rusia ini mesti dikalahkan secepat mungkin,” tambah Zelensky.

Namun, pihak berkuasa di Moscow masih belum mengulas mengenai dakwaan itu.

Antara 16 yang maut ialah seorang kanak-kanak, dengan sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera, menurut maklumat yang dikongsi oleh Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal.

“Semua perkhidmatan berfungsi,” katanya sambil menambah: “api dapat dikawal”.

Sebuah pasar, kedai dan farmasi turut dibedil.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan detik letupan.

Pegawai di Rusia belum mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Mereka sebelum ini menafikan menyasarkan rakyat.

Serangan pada hari Rabu bertepatan dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken ke ibu negara Ukraine, Kyiv.

Blinken sepatutnya bertemu dengan Zelensky, dipercayai untuk mengumumkan pakej bantuan AS baru untuk negara yang dilanda perang itu. – Agensi

Scroll to Top