16 sekolah, 500 pelajar di Sungai Buloh terima bantuan Yayasan Bank Rakyat

16 sekolah, 500 pelajar di Sungai Buloh terima bantuan Yayasan Bank Rakyat

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sekitar Sungai Buloh menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM50,000.

Manakala 11 sekolah kebangsaan (SK) pula menerima bantuan sekolah berjumlah RM55,000 serta bantuan persekolahan kepada 500 pelajar sekolah sebanyak RM50,000.

Bantuan itu disalurkan menerusi Program Penyerahan Insentif Pendidikan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

YBR dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu bagi membantu pihak sekolah memantapkan tahap pencapaian pelajar melalui perlaksanaan program pendidikan serta bantuan tunai kepada pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah, B40.

Menurutnya, bantuan itu dapat meningkatkan tahap akademik murid-murid untuk sesi persekolahan bagi 2024.

Penyerahan insentif pendidikan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Seksyen 7 Kota Damansara.

Turut hadir dalam sesi penyampaian itu adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Young Syefura Othman; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.

Sementara itu, Ramanan berkata, bantuan itu diharap dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid melalui program pendidikan yang mampu meningkatkan prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) serta pencapaian pelajar.

“Saya amat berterima kasih kerana YBR berterusan membantu pelajar dan sekolah di Sungai Buloh.

“Ia sekali gus dapat meringankan bebanan kewangan ketua keluarga menyediakan kelengkapan pembelajaran anak-anak,” katanya.

Menurut Young Syefura, pemberian bantuan itu dapat membantu ibu bapa dan pihak sekolah menyemai semangat anak-anak sepanjang sesi persekolahan.

“Ia juga memudahkan pihak sekolah mengendalikan program-program yang dapat memberi input tambahan terhadap prestasi pembelajaran pelajar,” katanya pada majlis

penyerahan bantuan itu, hari ini.

Beliau berkata, Bantuan Tuisyen Rakyat yang disalurkan kepada pihak sekolah itu dapat membantu sekolah mengadakan kelas tambahan secara percuma khususnya

kepada pelajar tingkatan 5 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Perkara ini adalah inisiatif dalam membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan dan sebagai salah satu strategi YBR dalam membantu komuniti setempat,” katanya.

Sehingga September ini, seramai 24,306 murid dan 226 sekolah menerima manfaat melalui bantuan sekolah dan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.94 juta di 65 lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top