1,551 kemalangan direkod hari kelima Op Selamat 20

1,551 kemalangan direkod hari kelima Op Selamat 20

PETALING JAYA: Sejumlah 1,551 kemalangan direkodkan pada hari kelima Op Selamat 20 di seluruh negara semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, jumlah itu membabitkan 2,327 kenderaan pelbagai jenis.

Kata beliau, mengikut pecahan jenis kenderaan, kereta mencatatkan angka tertinggi kemalangan iaitu sebanyak 1,790 atau 76.9 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.

“Ia diikuti motosikal (315), kenderaan pacuan empat roda (103), kenderaan pelbagai guna (63), van (43), lori (lapan), bas (tiga) dan dua kes kemalangan melibatkan teksi,” kata hantaran itu.

JSPT turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko terlibat dalam kemalangan.

Pada 15 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, Op Selamat ke-20 bermula dari 20 April hingga 27 April bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik .

“Tumpuan akan diberikan di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Scroll to Top